Monday, August 13, 2012

1 Syawal 1433H Bersamaan Dengan 19 Ogos 2012


Tarikh mencerap anak bulan adalah pada 18 Ogos 2012 bersamaan dengan 29 Ramadhan 1433 ( Sabtu ). Usia anak bulan pada waktu itu sudah melebihi 20 jam dari waktu ijtima. Tinggi bulan telah melepasi 2⁰. Jarak lengkung bulan ke matahari lebih dari 10⁰ iaitu lebih tiga kali ganda dari syarat minima. Jika tidak ada aral melintang, anak bulan dapat dicerap kerana ia telah memenuhi kriteria imkanurrukyah. 1 Syawal 1433 bersamaan dengan 19 Ogos 2012 (Ahad).

Jika anda balik kampung pada 17 Ogos 2012 (Jumaat) dan ingin mengambil kelonggaran tidak solat Jumaat dan memilih solat Zohor, sewajarnya perjalanan hendaklah dimulakan sebelum fajar. Jika perjalanan dimulakan selepas fajar anda wajib menunaikan solat Jumaat.



Sunday, May 20, 2012

Gambar Album: Cerapan Objek Matahari

Sukar sekali untuk melihat fizikal matahari kerana pancaran cahayanya yang boleh menyebabkan mata kita menjadi buta. Namun begitu ia boleh dicuba dengan menggunakan teleskop jenis MEADE LX200 EMC dengan tahap tapisan cahaya yang selamat dan hasilnya kita boleh melihat matahari seperti ini:



Matahari: Objek samawi yang dibakar Allah Taala jutaan tahun tapi masih utuh sehingga kini



Teleskop: MEADE LX200 EMC - Milik Kompleks Balai Cerap Al Khawarizmi Tanjung Bidara Melaka


Tuesday, March 27, 2012

Siri 32: Batu Bersurat Terengganu Dan Fakta Falak







Batu Bersurat Terengganu yang dijumpai di Kuala Berang dalam bentuk tulisan jawi adalah batu bersurat yang paling tua dijumpai di Malaysia ( Tanah melayu ) iaitu berusia kira-kira 700 tahun dan ia bertarikh 702 H. Batu ini ditemui pada tahun 1899 oleh seorang ahli perniagaan Sayyid Husin bin Ghulam al Bukhari. Batu ini telah dibawa dan dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III dan ia ditempatkan di atas Bukit Puteri Kuala Terengganu.

Pada tahun 1923, batu ini dibawa ke Muzium Singapura sementara menunggu proses penyiapan Muzium Kuala Lumpur. Pada tahun 1991 Jemaah Menteri  memutuskan agar Batu Bersurat dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Kandungan Batu Bersurat mengandungi catatan undang-undang dan menyebut bahawa agama Islam sebagai agama rasmi. Ia juga membuktikan kedatangan Islam ke Terengganu pada 1303. Sekitar tahun 60-an ia dipindahkan ke Arkib Negara.



Kandungan muka pertama:

   Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka
   Asa  pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam
   Dengan benar bicara derma mereka bagi sekelian hamba Dewata Mulia Raya
   Di benuaku ini penentu agama Rasulullah sallallahi wasallama raja
   Mandalika yang benar bicara setelah Dewata Mulia Raya di dalam
   Bumi penentu itu fardhu pada sekalian Raja Manda
   Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar
   Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka
   Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada
   Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan di sasanakala
   Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua



Kandungan muka kedua:

   Keluarga di Benua jauhkan
   Datang berikan keempat orang berpiutang
   Jangan Mengambil  ambilhilangkanemas
   Kelima derma barang orang mardika
   Jangan Mengambil tugas buat temasya
   Jika ambil hilangkan emas keenam derma barang
   Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah
   Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
   Seratus ratun jika merdeka beristeri
   Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan
   Pinggang dihambalang dengan batu matikan
   Jika inkar hambalang jika anak mandalika



Kandungan muka Ketiga:

   Bujang dandanya sepuluh tengan tiga jika ia
   mentari bujang dandanya tujuh tahil sepaha
   Tengah tiga jika tetua bujang dandanya lima
   Tujuh tahil sepaha masuk bandara jika orang
   Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak
   Tiada dapat bersuami jika ia berbuat balabicara



Kandungan muka keempat:

   Tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma
  Seri Paduka tuhan (tuan) siapa tiada harta dendanya
   Ke sepuluh derma jika anakku atawa permainku atawa cucuku atawa keluargaku
      atawa anak
   tamra ini segala isi tamra  barang siapa  tiada menurut tamra ini laknak Dewata
      Mulia Raya bangi yang langgar acara tamra ini
   Dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini



Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof.Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tarikh batu bersurat ini ialah berlaku pada hari Jumaat 4 Rejab tahun 702 H bersamaan dengan 22 Februari 1303 M.

Tulisan jawi Sanskrit sebagaimana yang tercatat di batu Bersurat Terengganu nampaknya lebih bernilai jika dibandingkan dengan ukiran-ukiran pada batu-batu nisan yang dijumpai di negeri Pahang dan Kedah kerana ia mengandungi undang-undang di dalam al Quran.

Selain dari itu ia juga mengandungi fakta falak pada ukiran tersebut.



   Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan di sasanakala
   Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua



Iaitu Jumaat pertama pada bulan Rejab tahun 702 Hijrah bertepatan dengan munculnya Buruj Saratan ( Ketam ) apabila perintah agama (sasanakala) mengisytiharkan ukiran undang-undang Islam pada batu tersebut oleh pemerintah Terengganu pada masa itu.

Nampaknya ada dua versi bagi perkataan saratan iaitu Saratan dan Syaratan. Mengikut Mu’jam al-Wasitt:

السرطان : أحد بروج السماء بين الجوزاء والأسد وزمنه من 22 جون الي 22 جوليه

Saratan: adalah salah satu buruj ( gugusan bintang ) di langit yang berada di antara Buruj Jauza’ dan Asad, waktunya adalah antara 22 Jun hingga 22 Julai   ( Jilid 1: 443)

الشرطان : النجمان يقا ل لهما قرنا الحمل يظهران في اول الربيع


Syaratan: dua bintang yang dikenali dengan nama dua tanduk Hamal yang mana kedua-duanya muncul pada awal musim bunga   (Jilid 1: 498)

Kini , peristiwa bersejarah pemahatan Batu Bersurat Terengganu boleh dikesan kembali dengan menggunakan Perisian Starry Night Pro 4.5.2 dan menjejaki kedudukan Buruj Saratan pada masa itu. Berdasarkan simulasi tersebut, ia memperlihatkan kepada kita bahawa pada 22 Februari 1303 Buruj Saratan berada di ufuk timur. Planet Musytari pula sedang berada pada kecerahan tahap maksima. Sementara itu bulan pula berada dalam keadaan sabit muda di ufuk barat dan berada di Buruj Aries.

Ada kemungkinan Buruj Saratan dikaitkan dengan penulisan Batu Bersurat tersebut disebabkan hadirnya planet Musytari sebagai objek yang terang ketika itu di buruj ini. Kehadiran serentak bulan dan planet Musytari dengan kecerahan hampir 100% yang berada di Buruj Saratan ini berlaku selama 2 hari iaitu 28 Feb dan 1 Mac 1303 bersamaan 10 dan 11 Rejab 702 Hijrah.


Ini juga bermakna ketika peristiwa pemahatan Batu Bersurat Terengganu tersebut pada tahun 1303 M/702H sudah ada mereka yang mahir ilmu falak dalam menentukan tarikh pada tahun Hijrah termasuk kemahiran mencerap buruj buruj di langit.


Perisian Astronomi Starry Night Pro 4.5.2





Wednesday, March 14, 2012

Siri 31: Tahun-Tahun Lompat





Tahun biasa mengandungi 365 hari dalam setahun sementara tahun lompat pula mengandungi 366 hari dengan ditambah 1 hari pada akhir bulan Februari.

Taqwim hari ini berasaskan kepada pergerakan bumi mengelilingi matahari. Satu pusingan lengkap bumi mengelilingi matahari disebut sebagai satu tahun suria.

Kalendar yang digunakan kebanyakan negara pada hari ini adalah calendar Gregorian iaitu mengambil sempena nama Pope Gregory (1502-1585).Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membuat pembetulan terhadap kesilapan dalam Taqwim Julian.


Kenapa Wujudnya Tahun Lompat? 


Kewujudan tahun lompat adalah bertujuan memperbetulkan masa. Bumi mengelilingi matahari dalam 365 hari setahun, namun ia bukan betul-betul tepat dengan angka tersebut Tempoh bumi mengelilingi matahari adalah sekitar 365.25 hari. Ini bermakna terdapat perbezaan di antara 1 tahun mengikut Taqwim Gregory dengan 1 tahun suria sebanyak ¼ hari.


29 Februari adalah hari yang ke-60 dalam tahun lompat. Hanya ada 306 hari sebelum memasuki tahun seterusnya. Tahun yang mengandungi 29 Februari dikira tahun lompat. Tarikh ini berlaku hanya 4 tahun sekali dan berlaku dalam tahun-tahun yang mempunyai angka yang boleh dibahagi dengan empat tanpa ada berbaki seperti 1992, 1996, 2004 melainkan tahun-tahun abad.


Kaedah Mengetahui Tahun Lompat 

Tahun abad adalah tahun yang berakhir dua angka sifar seperti 1700, 1800, 1900, 2000 dan lain-lain tidak dikira sebagai tahun lompat kecuali ia boleh dibahagikan dengan 400 tanpa ada baki. Ini bermakna tahun 2000, 2400, 2800, adalah tahun lompat akan tetapi 1800, 1900, 2100, 2200 2300 bukanlah tahun lompat. 

Contoh 1:
Tahun:
2012  ÷ 4 = 503
2016  ÷ 4 = 504
2020  ÷ 4 = 505

Penjelasan: Setelah 2012, 2016 dan 2020 di bahagi dengan 4, hasilnya adalah nombor bulat yang tidak berbaki iaitu tiada sebarang titik perpuluhan (503, 504 dan 505). Jadi tahun 2012, 2016 dan 2020 adalah tahun lompat.

Contoh 2:
Tahun: 
1999 ÷ 4 = 499.75
2001 ÷ 4 = 500.25
2010 ÷ 4 = 502.5

Penjelasan: Setelah 1999, 2001 dan 2010 dibahagi dengan 4, hasilnya adalah nombor pecahan iaitu terdapat baki . Jadi tahun 1999, 2001 dan 2010 adalah bukan tahun lompat.

Manakala bagi tahun abad seperti 1700, 1800, 1900 dan 2000 jika boleh dibahagi 400 ia adalah tahun lompat.

Contoh tahun:
1700 dibahagi 400 mempunyai baki ( 4.25 ), ini bukan tahun lompat.
Tahun 2000 boleh dibahagi 400 dan tiada baki ( 5 ), tahun 2000 adalah tahun lompat.



Tahun 2008 dan 2012 adalah tahun lompat




* Bagi bayi yang lahir pada 29 Februari 2012 yang lalu, mereka akan menyambut hari jadi 4 tahun sekali.



Tuesday, January 31, 2012

Siri 30: Ilmu Falak Di Kelantan


Pintu masuk ke Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu Kelantan


Madrasah Diniyyah Al Bakriyah - Pondok Pasir Tumboh Kelantan

Peranan orang-orang Arab dan Farsi dalam mengembangkan agama Islam ke nusantara sebenarnya ada kaitan secara langsung dengan perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu. Ia menjadi tapak pemula kepada terbinanya tamadun ilmu ini khususnya di Kelantan.


Pada zaman terbinanya tamadun ilmu dalam bentuk penulisan terutama pada zaman kerajaan Abasiah, pelbagai bidang dan bentuk ilmu dipindah masuk ke dalam tamadun Islam dalam bentuk terjemahan. Teks-teks ini kemudiannya dihuraikan sehingga ia menjadi bertambah luas dan maju.

Bermula di era kerajaan Melaka dengan kehadiran Syeikh Abdul Aziz Al Nayiri, ilmu falak mula merebak secara perlahan ke kawasan-kawasan yang berdekatan seperti Aceh melalui pena beberapa orang ulama seperti Nuruddin Al Raniri.

Ilmu falak telahpun dipelajari secara serius di kelantan sebelum tahun 50 an lagi oleh pelajar-pelajar agama di pondok-pondok negeri kelantan seperti Pondok Masjid Muhammadi Kota Bharu, Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas, Pondok Bunut Payung Kota Bharu, Pondok Tok Selihor Tumpat, Pondok Pasir Tumboh dan lain-lain lagi.

Sebelum tahun 50 an, pelajar-pelajar ilmu falak banyak mengunakan alatan falak tradisonal seperti Rubu’ Mujayyab untuk tujuan mengira waktu solat dan menentukan arah kiblat. Rubu’ Mujayyab ialah alat tradisional falak yang asalnya dicipta oleh Ibnu Syatir. Ia sejenis alat suku bulatan yang berguna untuk menentukan waktu-waktu solat, mengukur ketinggian matahari dari ufuk bertujuan untuk mengetahui masa jam setempat, mengukur ketinggian sesuatu objek seperti bukit, bangunan, mengesan arah kiblat, dalam atau cetek sesebuah perigi, keluasan sesebuah padang dan lain-lain lagi.

Era 50 an juga ilmu falak telah diajar di sekolah-sekolah agama  dan ia adalah salah satu matapelajaran yang wajib bermula pada darjah 5. Pelopor utama kepada pengajian ini Hj. Mohammad Nor bin Ibrahim –mufti Kerajaan negeri Kelantan.


Sunday, January 15, 2012

Siri 29: Al Quran Dan Kalendar Hijri ( Qamari)


Kalendar Islam atau disebut juga dengan nama Takwim Islam adalah berdasarkan putaran atau pergerakan bulan. Ia berbeza dengan Kalendar Masihi yang berasaskan suria. Suatu ketika dahulu sistem Takwim Islam mengalami beberapa kelemahan disebabkan kekurangan kepakaran saintifik. Walaubagaimanapun masalah ini telah diatasi dengan wujudnya International Islamic Calendar Programe ( IICP) sejak 35 tahun yang lampau. Meskipun hari ini matahari digunakan secara meluas, namun perlu diingat bahawa hampir kesemua tamadun awal bermula dengan Kalendar Qamari yang bersumberkan bulan.


Purata bulan Qamari ialah kira-kira 29 hari dan ia tidak terikat dengan musim. Pada mulanya orang Mesir menggunakan sistem berasaskan qamari kemudian bertukar kepada kalendar biasa yang terdiri dari 12 bulan berasaskan 30 hari dan kabisat 5 hari menjadikannya 365 hari setahun.


Firman Allah Azza Wajalla yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya Ibadat Haji. dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."( Al Baqarah: 189 )


FirmanNya lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. ( At Taubah: 36 )


Taqwim Hijri Qamari adalah sebahagian dari Taqwim Islami iaitu Taqwim Qamari yang bergantung kepada putara bulan untuk menetapkan waktu. Ia digunakan oleh orang-orang Islam di semua pelusuk bumi terutama dalam menentukan tarikh-tarikh yang ada kaitan dengan keagamaan.


Taqwim Hijri Qamari ini diwujudkan oleh Saidina Umar Al Khattab radhiallahu anhu dan beliau menjadikan hijrah Rasul sebagai dari Mekah ke Madinah pada 22 Rabiul Awwal bersamaan 24 September 622M sebagai rujukan tahun yang pertama. Ini juga adalah sebab kenapa ia dipanggil dengan nama Taqwim Hijri. Sekalipun Taqwim Hijri dibuat pada zaman Islam, nama-nama bulan dan Taqwim Qamari telah sedia digunakan pada zaman jahiliah. Taqwim Hijri bermula pada  hari Jumaat 1 Muharram tahun 1 Hijrah bersamaan 16 Julai 622M.


Taqwim Hijri mengandungi 12 bulan Qamari bersamaan lebih kurang 354 hari (354.367056 hari ). hari-hari dalam bulan Qamari pula samada 29 atau 30 hari kerana putaran bulan menyamai 29.530588 hari. Ini bermakna perbezaan dengan Taqwim Miladi ialah 11.2 hari.

Bulan-Bulan Qamari:

❶ Muharram – bulan pertama dalam tahun Hijrah dan merupakan salah satu dari bulan-bulan haram. Dinamakan demikian kerana orang Arab sebelum Islam mengharamkan peperangan pada bulan tersebut.


❷ Safar – dinamakan demikian kerana pada bulan ini rumah-rumah orang Arab ‘sunyi’ kerana ketiadaan penghuninya kerana pergi berperang.


❸ Rabi’ul Awwal – dinamakan dengan nama demikian kerana bulan ini adalah hadirnya musim bunga.


❹ Rabi’ul Akhir – musim bunga akhir


❺ Jamadil Ula – sebelum Islam ia dikenali sebagai Jamadil Khamsah. Dinamakan demikian kerana ia berlaku pada musim sejuk sehingga air membeku.


❻ Jamadil Akhir – sebelum Islam ia dikenali dengan nama Jamadil Sittah. Dinamakan demikian kerana ia berlaku pada musim sejuk.


❼ Rejab – sebahagian dari bulan-bulan haram. Dinamakan demikian kerana peperangan dihentikan pada bulan ini.


❽ Sya’ban – dinamakan demikian kerana ia berada antara Rejab dan Ramadhan.


❾ Ramadhan – dinamakan demikian kerana udara sangat panas membakar pada ketika penamaannya. Di sisi orang Islam ia bermaksud ‘membakar’ dosa-dosa yang dilakukan kerana pada bulan ini disyariatkan berpuasa.


❿ Syawal  Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada dasar kata ‘syala’ (mengangkat). 


⓫ Zulqaidah – dinamakan demikian kerana pada bulan ini orang-orang Arab tidak ke mana-mana. Qa’ada bermaksud duduk. Ia juga adalah salah satu bulan-bulan yang diharamkan berperang.


⓬ Zulhijjah – dinamakan demikian kerana pada bulan ini orang-orang Islam pergi menunaikan haji.


Wednesday, December 21, 2011

Siri 28: Majoriti Ahli Falak Berpendapat Bentuk Bumi Adalah Bulat



Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiallahu anhuma bahawa Baginda صلي الله عليه وسلم   ditanya: 

“Dimanakah tenggelamnya objek-objek angkasa dan dari manakah terbitnya objek-objek angkasa? Jawab Baginda صلي الله عليه وسلم   : Ia berada tetap ditempatnya tidak berpindah dan tidak tergelincir, ia kelihatan tenggelam pada pandangan penduduk di satu tempat dan kelihatan terbit pada penglihatan penduduk di satu tempat yang lain. Dalam waktu yang sama, penduduk di satu daerah mengatakan ia tenggelam sedangkan penduduk daerah yang lain mengatakan ia terbit”

Di dalam hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa matahari terbit dan terbenam bersilih ganti di atas permukaan bumi. Secara logiknya ia tidak mungkin terjadi demikian kecuali bentuk bumi adalah bulat. Matahari, bulan dan lain-lain hilang dari pandangan penduduk bumi di satu tempat dan kelihatan terbit di satu tempat yang lain. Ia tidak berpindah dan tergelincir dari laluannya sebagaimana firman Allah Azza Wajalla yang bermaksud:

Dan masing-masing beredar pada orbitnya”  ( Yasin: 40 )

Sebelum kedatangan wahyu Baginda صلي الله عليه وسلم  , masyarakat Arab memahami bahawa bumi berbentuk datar dan tidak bergerak. Tiada di kalangan mereka yang mengetahui bahawa bumi adalah bulat. Al Quran memberitahu kita bahawa bentuk bumi adalah bulat secara tersirat. Ia menggalakkan kita berfikir, merenung, membuat analisis sesuai dengan kehendak banyak dari ayat-ayatnya yang menghendaki kita berfikir.

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia menutupkan (Yukawwir) malam ke atas siang dan menutupkan (Yukawwir) siang ke atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” ( Az-Zumar: 5)

 Dalam beberapa ayat, Al Quran ada menerangkan bahawa bumi terbentang luas tanpa tepi. Sesuatu yang kelihatan terbentang tapi tidak mempunyai hujungnya ialah sesuatu yang berbentuk bulat. Ini ditambah lagi dengan adanya dua timur dan dua barat sebagaimana yang telah disentuh dan dihuraikan sebelum ini.

Fakta ini turut disokong oleh ayat Al Quran yang menerangkan bahawa siang dan malam silih berganti dan juga ayat berkenaan gunung yang berjalan atau bergerak sama seperti beredarnya awan.

Fakta-fakta seperti inilah yang mendorong usaha untuk mengukur keluasan bumi pada zaman Khalifah Al Makmun (786M-833M ) dengan cara pengukuran yang teliti dan membuat kesimpulan bahawa bumi adalah berbentuk bulat dan beredar di atas paksinya mengelilingi matahari.

Di antara ilmuan falak membuktikan bumi ini bulat ialah Al Biruni ( 973M-1048M ). Beliau membahagikan bulatan bumi kepada garis bujur ( longitude ) dan garis lintang (latitude) didalam bukunya yang bertajuk:

تحديد نهايات الاماكن لتصحيح مسافات المساكن


(Penetapan Penghujung Satu-Satu Tempat Untuk Mengesahkan Jarak Sesuatu Tempat) yang ditulis pada tahun 416H bersamaan 1040M.

Demikian juga dengan Al Khawarizmi, dengan bantuan beberapa orang ahli falak yang lain, beliau berjaya mengukur lilitan bumi dan mereka mendapati bumi adalah bulat. Beliau juga menolak pandangan astronomer Yunani purba –Ptolemy- yang mengatakan bumi berada dalam keadaan tetap dan matahari bergerak mengelilingi bumi. Pandangan Ptolemy ini dipegang dan dipertahankan oleh pihak gereja sehingga ratusan tahun lamanya. Ini bermakna ketika ilmuan Islam menemui bahawa bumi ini bulat, masyarakat eropah masih lagi berpegang bahawa bumi ini datar seperti hamparan tikar.



Saturday, December 3, 2011

Siri 27: Ulasan Buku Falak - Al Hidayah Min Ad Dholalah - (sambungan)





Di dalam manuskrip Azhariah, tajuk yang tertera ialah: Mukadimah Fi Ilmil Wakti Wal Qiblati Tusamma Al Hidayah Minadholalah.

Topik perbincangan di dalam kitab sebagaimana catatan penulisnya ialah: ilmu berkenaan dengan masa dan kiblat dan ia adalah satu tuntutan yang sangat penting kerana ia merupakan asas kepada ibadat solat dan lainnya. Kitab ini merangkumi perbicaraan tentang ilmu pengiraan, geografi, sejarah, bahasa dan fiqh.

Pengarang tidak menyebut sebarang rujukan yang dijadikan sandaran kepada tulisan beliau. Memadai beliau menyebut dengan kata: “inilah mengikut pandangan ahli-ahli falak” tanpa menamakan sesiapa sesuai dengan adat kebiasaan pada masa itu yang menunjukkan bahawa apa yang ditulis oleh beliau itu selari dengan pandangan ahli-ahli falak.



Nilai Ilmiah Kitab Ini

Penulisan dalam ilmu falak sudah banyak tersebar apatah lagi perbahasan yang berkaitan dengan masa atau waktu. Kebiasaannya ia bersifat ilmiah semata-mata berbanding dengan buku ini bagaimana pengarangya mengikat dan menyulam ilmu falak dengan ilmu fiqh dan lain-lainnya dengan sulaman yang halus sekali. Beliau menyusun dan mengulas maklumat-maklumat falak dengan susunan ayat yang mudah difahami oleh para pembaca dan pengkaji ilmu ini.

Pengarang juga memberi perhatian dengan menentukan kiblat bagi tempat-tempat tertentu di zamannya di pelbagai pelusuk dunia dan beliau mengisyaratkan bahawa cara yang beliau lakukan itu adalah hasil kreativiti beliau sendiri.



Kandungan Buku

Buku ini mengandungi 12 bab:

Bab 1:  Cara Meletakkan Bilangan Mengikut Huruf Mu’jam


Bab 2:  Cara Mengetahui Kadar Biasan Bayang Di Setiap Kawasan


Bab 3:  Pengetahuan Tentang Nama-Nama Bulan Dan Bilangannya

Bab 4:  Pengetahuan Tentang Tarikh, Tahun, Bulan, Hari, Malam Dan Waktu

Bab 5:  Pengetahuan Awal Tahun Dan Awal Bulan Apabila Tidak Dapat Di Ketahui Melalui Tarikh Arab Dan Qibti

Bab 6:  Pengetahuan Tentang Tahun Qibtiyah Dan Cara Menghasilkannya

Bab 7:  Pengetahuan Tentang Nama-Nama Buruj Dan Peredarannya Serta Pembahagiannya Kepada Empat Fasal

Bab 8:  Pengetahuan Tentang Waktu – Waktu Solat

Bab 9:  Cara Mengeluarkan Penjuru Yang Empat

Bab 10:  Pengetahuan Tentang Malam: Yang Berlalu Dan Berbaki Dari Sudut Bulan Dan Peredaran

Bab 11:  Pengetahuan Tentang Sejumlah Tanda-Tanda Kiblat

Bab 12:  Tentang Mengadap Kiblat



Wednesday, November 23, 2011

Siri 26: Ulasan Buku Falak - Al Hidayah Min Ad Dholalah


Kulit kitab

Manuskrip tulisan tangan

Edisi cetakan pertama 1991



Tajuk buku:  Al Hidayah Min Ad Dholalah Fi Ma’rifatil Wakti Wal Qiblati Min Ghairi Alat ( Petunjuk Dari Tersesat: Cara Mengetahui Waktu Dan Kiblat Tanpa Menggunakan Peralatan )

Pengarang: Syihabuddin Ahmad bin Ahmad bin Salamah
Tahqiq:  Dr. Abdul Sattar Abu Ghuddah
Diedar Oleh: Darul Aqsa Kaherah
Cetakan:  1991M/ 1412H ( Cetakan pertama )

Pengarang kitab lebih dikenali dengan al Qoliubi iaitu nisbah kepada Qoliub satu daerah di bahagian timur Mesir. Tarikh kelahirannya tidak dapat dikesan oleh ahli-ahli sejarah begitu juga umurnya. Beliau meninggal pada tahun 1659M bersamaan dengan 1069H.


Keperibadiannya yang terpuji ialah gemar menuntut ilmu dan beliau lebih terkenal dalam bidang perundangan Islam. Walaupun demikian, beliau mengambil berat dalam beberapa bidang ilmu yang lain juga seperti falak, perubatan dan sejarah sebagaimana yang terserlah melalui buku-buku karangannya.

Di antara guru-guru beliau ialah al Imam Syamsuddin Al Ramli ( fiqh dan hadis ), Nuruddin Al Ziyadi, Salim Syibsyiri, Ali Al Halabi, Al Subki dan lain-lain lagi.


Hasil penulisan beliau pula ialah seperti:


 1.      الهداية من الضلالة
2.      حاشية علي الجلال المحلي علي المنهاج
3.      حاشية علي شرح ابن قاسم الغزي
4.      البدور المنورة في معرفة الاحاديث المشتهرة
5.      تحفة الراغب في سيرة جماعة من اهل البيت الاطايب
6.      نبذة اللطيفة في بيان مقاصد الحجازومعالمه الشريفة
7.      رسالة في فضائل مكة والمدينة وبيت المقدس وشيئ من تاريخها
8.         التذكرة في الطب
9.      كتاب في تعبير المنامات
10.  تعليق علي جامع الصغير للسيوطي
11.  حكايات وغرائب وعجائب ولطائف ونوادر وفوائد ونفائس


Dan lain-lain lagi.


Bersambung.......


Sunday, October 30, 2011

Gambar Album - Cerapan Langit Malam


Cerapan Langit Malam ( Planet Marikh & Zuhal, Nebula ) bertempat di Kompleks Balai Cerap Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka. Kuliah dan cerapan langit malam dibimbing oleh Dr. Kasim Bahali ( Ketua Bahagian Falak Kompleks Balai Cerap Al Khawarizmi )


Moreh - 24 Ramadhan 1432 Bangi Beach Resort