Tuesday, January 31, 2012

Siri 30: Ilmu Falak Di Kelantan


Pintu masuk ke Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu Kelantan


Madrasah Diniyyah Al Bakriyah - Pondok Pasir Tumboh Kelantan

Peranan orang-orang Arab dan Farsi dalam mengembangkan agama Islam ke nusantara sebenarnya ada kaitan secara langsung dengan perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu. Ia menjadi tapak pemula kepada terbinanya tamadun ilmu ini khususnya di Kelantan.


Pada zaman terbinanya tamadun ilmu dalam bentuk penulisan terutama pada zaman kerajaan Abasiah, pelbagai bidang dan bentuk ilmu dipindah masuk ke dalam tamadun Islam dalam bentuk terjemahan. Teks-teks ini kemudiannya dihuraikan sehingga ia menjadi bertambah luas dan maju.

Bermula di era kerajaan Melaka dengan kehadiran Syeikh Abdul Aziz Al Nayiri, ilmu falak mula merebak secara perlahan ke kawasan-kawasan yang berdekatan seperti Aceh melalui pena beberapa orang ulama seperti Nuruddin Al Raniri.

Ilmu falak telahpun dipelajari secara serius di kelantan sebelum tahun 50 an lagi oleh pelajar-pelajar agama di pondok-pondok negeri kelantan seperti Pondok Masjid Muhammadi Kota Bharu, Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas, Pondok Bunut Payung Kota Bharu, Pondok Tok Selihor Tumpat, Pondok Pasir Tumboh dan lain-lain lagi.

Sebelum tahun 50 an, pelajar-pelajar ilmu falak banyak mengunakan alatan falak tradisonal seperti Rubu’ Mujayyab untuk tujuan mengira waktu solat dan menentukan arah kiblat. Rubu’ Mujayyab ialah alat tradisional falak yang asalnya dicipta oleh Ibnu Syatir. Ia sejenis alat suku bulatan yang berguna untuk menentukan waktu-waktu solat, mengukur ketinggian matahari dari ufuk bertujuan untuk mengetahui masa jam setempat, mengukur ketinggian sesuatu objek seperti bukit, bangunan, mengesan arah kiblat, dalam atau cetek sesebuah perigi, keluasan sesebuah padang dan lain-lain lagi.

Era 50 an juga ilmu falak telah diajar di sekolah-sekolah agama  dan ia adalah salah satu matapelajaran yang wajib bermula pada darjah 5. Pelopor utama kepada pengajian ini Hj. Mohammad Nor bin Ibrahim –mufti Kerajaan negeri Kelantan.


No comments:

Post a Comment