Wednesday, December 21, 2011

Siri 28: Majoriti Ahli Falak Berpendapat Bentuk Bumi Adalah Bulat



Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiallahu anhuma bahawa Baginda صلي الله عليه وسلم   ditanya: 

“Dimanakah tenggelamnya objek-objek angkasa dan dari manakah terbitnya objek-objek angkasa? Jawab Baginda صلي الله عليه وسلم   : Ia berada tetap ditempatnya tidak berpindah dan tidak tergelincir, ia kelihatan tenggelam pada pandangan penduduk di satu tempat dan kelihatan terbit pada penglihatan penduduk di satu tempat yang lain. Dalam waktu yang sama, penduduk di satu daerah mengatakan ia tenggelam sedangkan penduduk daerah yang lain mengatakan ia terbit”

Di dalam hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa matahari terbit dan terbenam bersilih ganti di atas permukaan bumi. Secara logiknya ia tidak mungkin terjadi demikian kecuali bentuk bumi adalah bulat. Matahari, bulan dan lain-lain hilang dari pandangan penduduk bumi di satu tempat dan kelihatan terbit di satu tempat yang lain. Ia tidak berpindah dan tergelincir dari laluannya sebagaimana firman Allah Azza Wajalla yang bermaksud:

Dan masing-masing beredar pada orbitnya”  ( Yasin: 40 )

Sebelum kedatangan wahyu Baginda صلي الله عليه وسلم  , masyarakat Arab memahami bahawa bumi berbentuk datar dan tidak bergerak. Tiada di kalangan mereka yang mengetahui bahawa bumi adalah bulat. Al Quran memberitahu kita bahawa bentuk bumi adalah bulat secara tersirat. Ia menggalakkan kita berfikir, merenung, membuat analisis sesuai dengan kehendak banyak dari ayat-ayatnya yang menghendaki kita berfikir.

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia menutupkan (Yukawwir) malam ke atas siang dan menutupkan (Yukawwir) siang ke atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” ( Az-Zumar: 5)

 Dalam beberapa ayat, Al Quran ada menerangkan bahawa bumi terbentang luas tanpa tepi. Sesuatu yang kelihatan terbentang tapi tidak mempunyai hujungnya ialah sesuatu yang berbentuk bulat. Ini ditambah lagi dengan adanya dua timur dan dua barat sebagaimana yang telah disentuh dan dihuraikan sebelum ini.

Fakta ini turut disokong oleh ayat Al Quran yang menerangkan bahawa siang dan malam silih berganti dan juga ayat berkenaan gunung yang berjalan atau bergerak sama seperti beredarnya awan.

Fakta-fakta seperti inilah yang mendorong usaha untuk mengukur keluasan bumi pada zaman Khalifah Al Makmun (786M-833M ) dengan cara pengukuran yang teliti dan membuat kesimpulan bahawa bumi adalah berbentuk bulat dan beredar di atas paksinya mengelilingi matahari.

Di antara ilmuan falak membuktikan bumi ini bulat ialah Al Biruni ( 973M-1048M ). Beliau membahagikan bulatan bumi kepada garis bujur ( longitude ) dan garis lintang (latitude) didalam bukunya yang bertajuk:

تحديد نهايات الاماكن لتصحيح مسافات المساكن


(Penetapan Penghujung Satu-Satu Tempat Untuk Mengesahkan Jarak Sesuatu Tempat) yang ditulis pada tahun 416H bersamaan 1040M.

Demikian juga dengan Al Khawarizmi, dengan bantuan beberapa orang ahli falak yang lain, beliau berjaya mengukur lilitan bumi dan mereka mendapati bumi adalah bulat. Beliau juga menolak pandangan astronomer Yunani purba –Ptolemy- yang mengatakan bumi berada dalam keadaan tetap dan matahari bergerak mengelilingi bumi. Pandangan Ptolemy ini dipegang dan dipertahankan oleh pihak gereja sehingga ratusan tahun lamanya. Ini bermakna ketika ilmuan Islam menemui bahawa bumi ini bulat, masyarakat eropah masih lagi berpegang bahawa bumi ini datar seperti hamparan tikar.



No comments:

Post a Comment