Thursday, August 18, 2011

Siri 17: Mengapa Ada Yang Masih Bertelingkah Berkenaan Penetapan Awal Bulan Hijrah Sedangkan...

Saya ada membaca beberapa buah artikel berkenaan dengan perbahasan dalam menetapkan awal Syawal. Ada di antara artikel tersebut yang mana pengarangnya lebih cenderung kepada kaedah 'melihat hilal' dalam menentukan awal bulan Hijrah dan menafikan kaedah yang kedua iaitu kaedah hisab dengan alasan kaedah yang ke-2 ini bukan dari sunnah Nabi صلي الله عليه وسلم

Malangnya sepanjang penelitian pengendali blog ini, individu yang menafikan kaedah ke-2 dalam Islam ini tidak membawa dalil yang kemas dan mantap. Mereka sekadar cukup  dengan mengatakan kaedah yang kedua ini tidak ada dan tidak diamalkan oleh Nabi صلي الله عليه وسلم .

Perlu diingat satu perkara iaitu satu kaedah Usul Fiqh yang penting yang berbunyi:

ترك الشيء لا يدل علي منعه
Maksudnya: "meninggalkan / tidak melakukan sesuatu bukan menunjukkan ia adalah perkara yang dilarang"

Dengan kata lain, Nabi tidak melakukan sesuatu perkara itu bukanlah dalil sesuatu perkara tersebut adalah dilarang kita melakukannya.

Kita umat Islam semua bersetuju bahawa sumber rujukan utama ialah Al Quran dan Sunnah di samping dua lagi iaitu ijma' dan qias. Oleh yang demikian cuba kita meneliti beberapa nas Al Quran yang membawa kepada berkembangnya ilmu pengetahuan manusia di bumi ini.

Firman Allah Di Dalam surah Al Baqarah ayat: 185:

﴿شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدىً للناس وبينات من الهدى والفرقان, فمن شهد فيكم الشهر فليصمه, ومن كان مريضاً أو على سفر فعدة من أيام أخر﴾


185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi seluruh manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa di antara kamu  menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu mengagungkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.


Kalimah   شهد  ada mempunyai beberapa maksud di antaranya:
1. Hadir ( bukan musafir )
2. Iqrar
3. Ilmu
4. Lihat dengan mata


Pengertian Pertama:
Berdasarkan penggunaan bahasa Arab: شهود الشهر ialah bermaksud hadir tidak musafir .


Pengertian ke-2: bermaksud Ikrar berpandukan ayat:
﴿وتكلمنا أيديهم وتشهد أرجلهم بما كانوا يكسبون﴾
Saat tangan-tangan mereka berbicara dan kaki-kaki mereka mengiakan apa telah mereka lakukan di dunia 


Pengertian ke-3 : Ilmu
Berpandukan firman Allah Taala:  
﴿وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكاذبون﴾
Allah Maha Mengetahui ( dengan ilmuNya ) bahawa mereka itu berdusta


Pengertian ke- 4 : Melihat dengan mata
Berpandukan surah An Nur ayat 2:
﴿وليشهد عذابهما طائفة من المؤمنين﴾
Hendaklah ada sebahagian orang yang beriman melihat azab hukuman yang dijalankan ke atas kedua-dua penzina itu.

Perkataan  شهد  di dalam ayat di atas diihtimal maksud yang ke-3 dan ke-4 dengan maksud: " Sesiapa yang mengetahui dengan yakin bermulanya bulan baru (Ramadhan), mulalah berpuasa samada melihat hilal ( anak bulan ) atau mengetahui dengan ilmu imkanur rukyah (ilmu yang mengesan kemungkinan hilal itu dapat dilihat ).

Ketiga-tiga pengertian di atas semuanya membawa kepada 'ilmu' (tahu). Saya lihat..jadi saya tahu. Ia bermaksud penglihatan adalah salah satu petunjuk kepada ilmu, tapi penglihatan bukanlah satu-satunya petunjuk yang membawa kepada ilmu.

Kenapa hari masih ada segolongan dari umat Islam mentafsirkan rukyah dengan makna 'melihat dengan mata' sahaja dan kita tidak mengambil kedua-dua pengertian tersebut iaitu penglihatan dan ilmu. Mengapa kita mengabaikan aspek 'ilmu' sedangkan ia adalah salah satu unsur yang menjadikan kita umat yang satu dan kuat?

No comments:

Post a Comment