Sunday, October 30, 2011

Siri 25: Gambar Album - Meteor Dan Hakikat Besi












Beberapa dekad terakhir abad ke-20, ilmuan astronomi, falak dan astrofizik telah melakukan kajian terhadap kimiawi alam semesta. Hasil kajian menunjukkan bahawa unsur terbesar di alam semesta ini ialah gas Hidrogen. Pakar-pakar hairan tentang dari mana datangnya jumlah besi yang banyak yang mencapai 1/3 kandungan berat bumi.


Pakar-pakar Geologi menyatakan bahawa 30% struktur bumi adalah besi. Besi adalah mineral yang paling kukuh oleh itu ia boleh menjaga keseimbangan bumi. Besi berasal dari aneka komet dan asteroid yang jatuh dari angkasa ke permukaan bumi. Ada beribu-ribu meteor yang telah jatuh ke bumi dan banyak dijumpai di Australia dan Amerika. Berat seketul meteor berbanding batu biasa yang bersaiz sama besar adalah berbeza. Meteor lebih berat 2 atau 3 kali ganda dari batu biasa.

Hakikatnya besi bukanlah berasal dari dalam bumi tapi berasal dari objek-objek keras yang jatuh ke bumi. Tanpa besi bumi tidak akan memiliki medan magnet yang dapat menahan benda cair. Tanpa besi juga bumi tidak akan terdaya menahan kekuatan dan berat segala kehidupan yang ada di permukaannya. Perhatikan firman Allah Taala di dalam surah Al Hadid:



25. Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menurunkan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan serta berbagai faedah bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.


Sebahagian ahli tafsir Al Quran lebih cenderung untuk memberi makna ( Kami menurunkan besi ) dengan maksud ( Kami menciptakan besi ). Sebahagian ahli tafsir yang lain pula berpandangan ia tidak perlu ditafsirkan begitu bahkan adalah lebih baik dan lebih murni ditafsirkan dengan maksud ( Kamilah yang menciptakan dan menurunkan besi dari langit... ) kerana sesuai dengan lafaz wa anzalnal hadid di dalam ayat tersebut. Dan...perhatikan pula Sabda Nabi صلي الله عليه وسلم   :


ان الله انزل اربع بركات من السماء الي الارض  الماء والملح والنار والحديد


“Allah menurunkan empat keberkatan dari langit ke bumi: Air, garam, api dan besi”


Meskipun hadis ini sanadnya dha'if (lemah) tapi ia mempunyai nilai ilmiah yang tinggi untuk diselidiki.


Kata Syeikh Zindani:


“Tahukah anda bahawa berat atom besi ialah 57 iaitu sama dengan urutan surah Al Hadid ( Besi ) yang juga 57. Jumlah atom besi ialah 26 iaitu sama dengan nombor ayat mengenai besi dalam surah al Hadid iaitu 26 (sekiranya dikira Basmallah sebagai salah satu ayatnya). Adakah ia terjadi secara kebetulan? Sudah tentu tidak…tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”



Bagi mereka yang kreatif dan ada kebolehan pula, sudah tentu tidak melepaskan peluang ini dengan menggunakannya sebagai saluran perniagaan. Dari seketul tahi bintang ia bertukar menjadi keychin, cincin, rantai, gelang dan lain-lain lagi yang akhirnya dijual di pasaran.......dan harganya pun sudah tentu sangat mahal.




Dato Jaafar Jamaludin pemilik Jejak Juta SDN BHD

Friday, October 14, 2011

Siri 24: Bolehkah Bulan Di Lihat Di Siang Hari?




Bulan Di Waktu Siang
Lokasi :  Masjid Tanah Melaka
Tarikh :  14 Oktober 2011
Masa   :  6:53 AM


Bulan Di Waktu Siang
Lokasi :  Jasin Melaka
Tarikh :  17 Oktober 2011
Masa   :  8:00 AM



Bulan Di Waktu Siang
Lokasi :  Jasin Melaka
Tarikh :  19 Oktober 2011
Masa   :  7:53 AM



"Bulan boleh nampak di siang hari? Eh! mana ada...bulankah ia hanya muncul pada waktu malam?

Begitulah dialog biasa yang kita dengar, tapi hakikatnya tidak begitu..



Matahari terbit dan terbenam, Bulan Terbit Dan Terbenam Dan Bulan Di Siang hari: 

Ia adalah waktu apabila bahagian sudut atas matahari berada di atas garisan ufuk ketara yang tidak dihalang oleh sesuatu yang lain. Ketika matahari mulai terbit, ia dikira bermulanya waktu syuruk. Lebih kurang 28 minit selepas syuruk , ia adalah waktu dhuha. Ketika matahari terbenam bermulalah waktu  maghrib.

Bulan merupakan satu jasad samawi yang mengikuti bumi. Bulan tidak mengeluarkan dan memancarkan cahayanya sendiri sebaliknya ia memantulkan cahaya matahari. Cahaya yang diterima dari matahari ini dipantulkan ke segenap arah sehinggakan kita melihat bulan sebagai satu objek yang bersinar. Ini berdasarkan Firman Allah Taala yang bermaksud:



Dan Kami jadikan bulan sebagai nur dan matahari sebagai siraj
         (Nuh: 16 )


Ya…kedua-duanya bulan dan matahari bercahaya tetapi mengikut bahasa perkamusan perkataan siraj membawa maksud cahaya asal sementara nur pula bermaksud cahaya pantulan. Lafaz yang digunakan di dalam al Quran untuk cahaya bulan dan matahari adalah lafaz yang berbeza….maksudpun berbeza. 


Kita dapat melihat bulan di waktu siang kerana mata kita tepat ke arah cahaya pantul.  Pandangan mata kita adalah terhad. Ini beerti bukan selamanya mata kita mengarah ke cahaya pantul. Ini bermakna adakalanya mata kita dapat melihat bulan di siang hari dan adakalanya tidak. Adakala bulan tidak akan terbit atau terbenam dalam satu jangka masa bergantung kepada sesuatu tempat. Dalam tempoh 24 jam, bulan akan terbit atau terbenam bila-bila masa dan  adakalanya bulan dapat dilihat pada siang hari, dan adakalanya malam tanpa bulan.


Tuesday, October 11, 2011

Siri 23: Menentukan Kiblat Dengan Teknik Lintasan Matahari Atas Garisan Kiblat



“Dari manapun kamu keluar untuk menunaikan solat, hadapkanlah wajahmu ke  Masjidil Haram ( Kaabah )
 ….( Al Baqarah: 150 )


Kaabah adalah binaan paling awal yang didirikan di atas mukabumi untuk tujuan ibadat kepada Allah Taala. ( rujuk Surah Ali Imran: 96 ) Ia adalah satu binaan berbentuk kiub dan berukuran 15m tinggi dan 9.92 x 12.12 x 10.25 x11.85m.


Bagi sesetengah ibadat, mengadap kiblat ada yang wajib, ada yang sunat, ada yang makruh dan ada yang haram.


Antaranya ialah:


· Ibadat solat (wajib)

· Membina masjid, surau dan lain-lain tempat peribadatan Islam (wajib)

· Menunaikan qadh’ hajat (haram tanpa dinding)

· Azan

· Tidur

· Berdoa

· Sujud syukur

· Mengambil wuduk

· Membaca Al-Quran

· Menyembelih binatang

· Sujud sajdah atau tilawah

· Memulakan pemakaian kain ihram

· Meletak jenazah dalam liang lahad

· Berludah (ditegah menghala ke Kiblat)

· Berlunjur kaki (ditegah menghala ke Kiblat)

· Tawaf di Kaabah (bahu kiri menjurus ke Kaabah)

· Meletak jenazah atas katil (arah kaki mayat menghala ke Kiblat)

· Sebelum memulakan tawaf (mengadap kearah Hajarul Aswad di Kaabah)


Terdapat pelbagai cara dan teknik yang boleh digunakan bagi menentukan arah kiblat, samada kaedah tradisional ataupun moden. Objek-objek samawi juga boleh digunakan untuk tujuan ini seperti penggunaan bintang Qutb (Polaris), fasa-fasa bulan, matahari terbenam, lintasan matahari dan juga Buruj Belantik/Babadur ( Orion ) yang diwakili tiga bintang iaitu Nitak, Nilam dan Mintaka. Perkembangan pesat yang berlaku di dalam bidang astronomi atau falak, menjadikan urusan penentuan arah kiblat sekarang bertambah mudah. Peralatan-peralatan moden seperti kompas prisma, theodolite, GPS semakin mengambil tempat  dalam menentukan arah kiblat.




Menentukan Kiblat Dengan Teknik Lintasan Matahari Atas Garisan Kiblat


Sekiranya kita memerhatikan langit pada waktu siang, kita akan dapat menyaksikan dua perkara. Pertama ialah perjalanan matahari yang merentasi langit, akibat daripada peredaran bumi mengelilingi matahari. Keduanya, tempat terbit dan terbenamnya matahari yang sentiasa berubah-ubah, yang berpunca oleh paksi bumi yang condong.


Bumi mengambil masa selama 12 bulan untuk melengkapkan peredarannya mengelilingi matahari. Paksi bumi condong sebanyak 23.5° dari arah pugak. Matahari berada di Garisan Sartan (23.5° Selatan) pada 21 Disember, di Garisan Khatulistiwa (0°) pada 22 Mac, di Garisan Jadi pada 21 Jun dan melintasi semula Garisan Khatulistiwa (0°) pada 21 September.


Matahari kelihatan terbit dan terbenam sekitar antara azimut 260° hingga 280°. Kaedah ‘lintasan matahari’ memberi lebih banyak kesempatan kepada umat Islam untuk menyemak arah kiblat berbanding dengan fenomena matahari tegak atas Kaabah yang berlaku cuma 2 kali setahun.


Berikut ini adalah data-data Kaedah Lintasan Matahari dengan menggunakan e-Qlim Falak Suite Dr. Azhari Mohamed bagi kawasan Jasin Melaka pada 10 Oktober 2011 jam 11:33 AM.





    Bangunan Integrasi IKM Jasin Melaka


Bangunan Integrasi IKM Jasin Melaka



Atau...arah kiblat ialah:

292° 52’ 02” ( Dari arah utara ikut pusingan jam)




Saturday, September 24, 2011

Siri 22: Perselisihan Pendapat Tentang Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari





Secara umumnya, teori yang mengatakan bahawa bulan mengelilingi bumi dan bumi mengelilingi matahari serta bulan dan bumi sama-sama mengelilingi matahari ialah teori yang diterima umum sampai ke saat sekarang ini.


Namun begitu ini tidak bermakna tiada bantahan dari yang lainnya. Golongan yang kedua ini menganggap bahawa bumi tidak bergerak bahkan mataharilah yang berputar mengelilingi bumi sebagaimana mata kita melihatnya. Di antara dalil-dalil mereka ialah:



❶“Dan matahari beredar di orbitnya. Itulah ketetapan Allah yang Maha Mulia lagi Maha Mengetahui” (Yasin: 38 )

❷“Dan engkau lihat matahari apabila ia terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka dan apabila ia terbenam ia menghala ke kiri” ( Al Kahfi: 17 )

❸Teori yang mengatakan penggantian siang dan malam adalah terjadi disebabkan putaran bumi mengelilingi matahari adalah salah kerana menyalahi zahir al Quran

❹Al Quran menyatakan bahawa Allah membalikkan siang kepada malam dan malam kepada siang. Takwir dengan maksud tadwir ( memutarkan). Bagaimana boleh berlaku siang dan malam jika tidak dari matahari? Siang dan malam tidak terjadi kecuali dari matahari menunjukkan mataharilah yang berputar mengelilingi bumi.

❺Ketika matahari terbenam Nabi  صلي الله عليه وسلم berkata kepada Abu Zar: “ Tahukah kamu kemana matahari pergi? Jawab Abu Zar Allah dan RasulNya yang tahu. Jawab Nabi صلي الله عليه وسلم dia pergi dan sujud di atas Arasy” Ini adalah dalil bahawa mataharilah yang bergerak dan berputar mengelilingi bumi.


Siri 21: TIMUR Dan BARAT Cuma Satu...Tapi Kenapa Dirakam Dalam Al Quran Dengan Ganda Dua Dan Jamak ( Plural )? - Sambungan


Dalam surah As Syu'ara' ayat 27, perkataan timur dan barat muncul dengan lafaz mufrad. Ia adalah isyarat kepada satu keadaan tertentu yang tetap pada sesuatu tempat dan sesuatu masa. Satu ketika matahari muncul di suatu tempat dan terbenam di suatu tempat. Semua orang yang ada di tempat ini mereka berada dalam waktu yang sama saat terbit dan terbenamnya matahari. Itulah apa yang kita baca di dalam ayat. Allah Taala sertakan perkata Masyriq dan Maghrib secara terus.


Allah nyatakan   رب المشرق  والمغرب   ( Allah tidak nyatakan رب المشرق ورب المغرب ). Di sini kita faham bahawa situasi ayat adalah menerangkan perkara tertentu secara khusus iaitu berlakunya terbit dan terbenam matahari setiap masa. Bila kita aplikasikan perkara ini kepada tempat lain di bumi ia akan menunjukkan satu perkara penting iaitu bumi ini berbentuk bulat. Ini bermakna ayat ini hanya membuktikan kepada kita satu perkara secara khusus iaitu rupa bentuk bumi.


Ayat: “Aku bersumpah dengan kebesaranKu iaitu Tuhan yang menguasai seluruh timur dan barat dan sesungguhnya Kami Maha Berkuasa”


Di dalam ayat ini pula perkataan timur dan barat dirakam dengan kata jamak iaitu المشارق والمغارب  isyarat kepada adanya aktiviti matahari terbit dan terbenam secara berterusan terhadap bumi ini. Memandangkan proses matahari terbit dan terbenam berlaku secara berterusan melampaui masa dan tempat, ia menunjukkan kepada kita dua perkara: (1) Rupa bentuk bumi adalah bulat (kurawi) (2) Bumi itu sendiri berputar dan dalam masa yang sama ia berputar mengelilingi matahari.








Di dalam surah Al Rahman ayat 27 Allah Taala menyebut perkataan timur dan barat dalam bentuk ganda dua ( رب المشرقين ورب المغربين ) dengan diulang pula lafaz رب  sebanyak dua kali. Bentuk susunan ayat cantik sekali. Timur dan barat dilafaz dengan kata ganda dua agar sesuai dengan gaya bahasa surah Ar Rahman yang keseluruhannya disebut dalam bentuk ini di akhir setiap ayat-ayatnya. Tapi bukan itu sahaja, disebaliknya tersembunyi hakikat alam semesta. Inilah yang ingin dibongkarkan.



Allah Taala mengulangi kalimah Rab (Tuhan) sebanyak dua kali ( Tuhan yang memiliki dua timur dan Tuhan yang memiliki dua barat ) menunjukkan kepada kita dua timur itu adalah dua timur yang berbeza dan dua barat itu dua barat yang berbeza dari segi masa dan tempat. Dari segi tatabahasa bahasa Arab, sesuatu perkataan itu jika diulang dengan diselangi perkataan (و ) ia akan membawa maksud perkataan yang sebelum dan selepas huruf و itu adalah membawa maksud yang berbeza. 


Satu timur ialah timur yang kita alami buat masa sekarang dan timur satu lagi ialah yang alam dunia ini akan mengalaminya pada waktu kiamat nanti. 


Demikian juga dengan barat, proses berlakunya keberlainan timur dan barat tidak akan berlaku dalam waktu yang sama secara serentak. Fenomena ini sebagaimana yang dinyatakan Nabi صلي الله عليه وسلم  " Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah matahari muncul dari sebelah barat"

Friday, September 23, 2011

Siri 20: TIMUR Dan BARAT Cuma Satu...Tapi Kenapa Dirakam Dalam Al Quran Dengan Ganda Dua Dan Kata Jamak ( Plural )?


Matahari Syuruq


Matahari Ghurub


Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat kosmik yang boleh dimanfaatkan untuk  menjadi bukti kewujudan Tuhan yang Esa dan menggarapkan bukti ini dengan penjelasan saintifik, yang tidak dinafikan oleh akal yang sihat. Keduanya sebagai panduan kepada para penyelidik dan pengkaji falak dalam kajian mereka yang membawa mereka untuk memperbetulkan keputusan, kebenaran sejagat , memberi sumbangan kepada umat manusia, menerangi  jalan  dan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. 


Proses matahari terbit dan terbenam setiap hari yang dialami oleh manusia di bumi ini adalah salah satu kebenaran sejagat melalui firmanNya:
❶
"Dialah Tuhan Yang memiliki timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya"

(Al Syu’ara’ : 27)


❷

“Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang memiliki timur dan barat dan sesungguhnya Kami Maha Berkuasa”

(Al Ma’arij: 40)


❸

“Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah yang engkau dustakan? Dialah Tuhan yang memiliki dua timur dan dua barat”

(Ar Rahman: 14)


❹

“Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): "Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! kerana (engkau wahai syaitan) adalah sejahat-jahat teman". 

( Al Zukhruf: 38 )


Tidak syak lagi bahawa sebutan timur dan barat dalam bentuk yang berbeza adalah pencetus keinginan untuk berfikir, mengkaji dan menjadi pemangkin kepada pengukuhan meditasi, ia seperti hidup dalam gaya bahasa al-Quran dan kehalusan maknanya. Asasnya, dalam pengertian ayat-ayat ini ia merujuk kebesaran Pencipta, dan yang Maha Kuasa adalah di mana matahari terbit dan matahari terbenam dengan kuasa, cahaya, dan petunjukNya.


Kedua dengan realiti rangkaian global yang mengandungi nilai ilmiah yang tinggi dalam memahami undang-undang alam semesta ini agar tidak tersasar daripada kebenaran kosmik sebagaimana firmanNya yang bermaksud: (Allah juga menunjukkan kamu, supaya kamu mendapat petunjuk ) -Al-Imran (103)



Dalam Surah As Syu’ara’ disebut timur dan barat dengan lafaz mufrad/singular ( المشرق والمغرب ), dan ini adalah hakikat yang kita lihat setiap hari. 


Kita melihat matahari bersinar di timur dan barat,  bumi berputar mengelilingi matahari tanpa henti di timur dan barat berturut-turut dari segi masa dan tempat dan berlaku berulangkali, ini adalah apa yang kita faham dengan ayat ini yang muncul dalam bentuk plural dalam Surah Ma'arij ( المشارق والمغارب ) 


Tetapi persoalannya ialah: Apakah pemahaman yang betul  apabila perkataan ini muncul dalam bentuk  Al Muthanna (ganda dua) dalam surah Ar-Rahman ( رب المشرقين ورب المغربين  ) ?


Bagaimana pula kajian falak tentang perkara ini?


Bersambung.....

Tuesday, September 6, 2011

Siri 19: Risalah Falak Dari Abu Nasr Mansur Al Khawarizmi Kepada Al Biruni







Risalah ini berjudul Dawa-ir As Samawat Fi Usturlab  ( Bulatan Langit Di Dalam Astrolab ) iaitu risalah tentang ilmu falak yang di susun oleh Abu Nasr Mansur Al Khawarizmi terdiri dari 27 muka surat. Cetakan pertama oleh Da-iratul Ma'arif Al Uthmaniyah, Haidarabad tahun 1947 bersamaan dengan 1366 H.

Setakat pengetahuan yang ada pada pengendali blog ini, belum ada lagi terjemahan atau saringan yang dibuat dalam bahasa Melayu terhadap risalah ini. Sekiranya ada sesiapa yang tahu bahawa ia pernah diterjemahkan samada dalam bahasa Melayu, Indonesia atau Inggeris, pengendali blog ini berbesar hati jika dapat dimaklumkan berkenaan dengan hal tersebut di bahagian komen.

Hakikatnya, untuk mendapatkan buku-buku atau artikel yang berkualiti berkenaan dengan ilmu falak adalah amat sukar apatah lagi ia adalah hasil tulisan tokoh-tokoh falak yang tersohor dalam dunia Islam. Jika jatuh ke tangan kita sekalipun banyak perkara yang patut kita lakukan untuk memahami, menghayati dan menyebarkannya kepada orang lain. 



Sunday, August 28, 2011

Siri 18: Data-Data Falak Menunjukkan Anak Bulan (HILAL) Syawal Pada 29 Ramadhan BOLEH DILIHAT/KELIHATAN


Pada bulan Ogos tahun 2011, umat Islam menyambut awal Ramadhan pada 1 Ogos 2011( Isnin ), 1 syawal  1432 H yang akan berlaku pada 30 Ogos 2011 ( Selasa ) dan pada bulan yang sama juga akan meyambut hari kemerdekaan bagi Malaysia kali yang ke-54 pada 31 Ogos 2011. Mengikut data dan maklumat yang ada perkara ini belum pernah berlaku lagi sebelum ini.

Taqwim Hijri atau bulan Islam berdasarkan kepada pergerakan bulan mengelilingi bumi. Bilangan hari dalam satu bulan pula ialah samada 29 atau 30 hari. Bilangan hari dalam satu tahun ialah 354 hari. Bagi satu pusingan, ia mengandungi 30 tahun Hijrah. Dalam tempoh 30 tahun itu ada 19 tahun yang mempunyai bilangan hari 354 dan 11 tahun lompat yang mengandungi 355 hari.

Taqwim Miladi adalah berasaskan kepada pergerakan bumi mengelilingi matahari. Satu pusingan yang sempurna ialah 365.25 hari. 1 tahun biasa mengandungi 365 hari manakala tahun lompat pula ialah 366 hari. 1 tahun ada 12 bulan samada 28, 30 atau 31 hari. Tahun lompat pula samada 29, 30 atau 31 hari.


Hakikat Bulan Hijrah Dan Miladi

300 TM bersamaan 309 TH:
Firman Allah (s.w.t):

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا. الكهف: 25

Maksudnya:
" .. dan mereka telah tinggal di dalam gua mereka 300 tahun dan mereka tambah lagi 9 tahun “
( Al-Kahfi: 25)

300 tahun adalah berdasarkan kiraan ahli kitab
309 tahun adalah berdasarkan kiraan ilmuan Islam

Di dalam kiraan ahli-ahli hisab, didapati bilangan hari-hari Miladi selama 300 tahun ialah 109572.66, sementara hari-hari bulan Hijri selama 309 tahun ialah 109499.42 dengan kekurangan 73.24 hari. Sebagai petunjuk umum, seperti yang dinyatakan oleh ayat Al-Quran tersebut bahawa masa yang panjang 300 tahun Miladi itu adalah bersamaan 309 Hijri. Kelebihan 73.24 hari dalam masa 300 tahun Miladi akan meningkat kepada satu tahun Miladi dalam masa 1,499 tahun Miladi atau 1545 tahun Hijri. Pada ketika ini tahun Hijri hanya kekurangan 1 hari sahaja daripada tahun Miladi.


Kenapa Tiada Kaedah Pengiraan Falak Pada Zaman Rasulullah  صلي الله عليه وسلم ?

Tiada kaedah pengiraan pada zaman Rasulullah صلي الله عليه وسلم kerana pada zaman awal Islam, majoriti umat Islam tidak pandai membaca dan mengira. Oleh yang demikian Rasulullah صلي الله عليه وسلم mengarahkan agar melihat anak bulan ( hilal ) kerana itulah yang mampu dilakukan oleh kebanyakan orang pada zaman itu. Jika diarahkan atau diwajibkan mengira, sudah tentu ia akan membebankan umat perkara yang mereka tidak mampu lakukan. 


Sehubungan dengan ini, Syeikh Muhaddith Ahmad Syakir rahimahullah menulis dalam risalahnya yang bertajuk:

أوائل الشهور العربية":

(فمما لا شك فيه أن العرب قبل الإسلام وفي صدر الإسلام لم يكونوا يعرفون العلوم الفلكية معرفة علمية جازمة، كانوا أمة أميين، لا يكتبون ولا يحسبون، ومن شدا منهم شيئًا من ذلك فإنما يعرف مبادئ أو قشورا، عرفها بالملاحظة والتتبع، أو بالسماع والخبر، لم تبن على قواعد رياضية، ولا على براهين قطعية ترجع إلى مقدمات أولية يقينية، ولذلك جعل رسول الله صلى الله عليه وسلم مرجع إثبات الشهر في عبادتهم إلى الأمر القطعي المشاهد الذي هو في مقدور كل واحد منهم، أو في مقدور أكثرهم. وهو رؤية الهلال بالعين المجردة، فإن هذا أحكم وأضبط لمواقيت شعائرهم وعباداتهم، وهو الذي يصل إليه اليقين والثقة مما في استطاعتهم، ولا يكلف الله نفسًا إلا وسعها.

لم يكن مما يوافق حكمة الشارع أن يجعل مناط الإثبات في الأهلة الحساب والفلك، وهم لا يعرفون شيئًا من ذلك في حواضرهم، وكثير منهم بادون لا تصل إليهم أنباء الحواضر، إلا في فترات متقاربة حينا، ومتباعدة أحيانا، فلو جعله لهم بالحساب والفلك لأعنتهم، ولم يعرفه منهم إلا الشاذ والنادر في البوادي عن سماع إن وصل إليهم، ولم يعرفه أهل الحواضر إلا تقليدًا لبعض أهل الحساب، وأكثرهم أو كلهم من أهل الكتاب.

ثم فتح المسلمون الدنيا، وملكوا زمام العلوم، وتوسعوا في كل أفنانها، وترجموا علوم الأوائل، ونبغوا فيها، وكشفوا كثيرًا من خباياها، وحفظوها لمن بعدهم، ومنها علوم الفلك والهيئة وحساب النجوم.

وكان أكثر الفقهاء والمحدثين لا يعرفون علوم الفلك، أو هم يعرفون بعض مبادئها، وكان بعضهم، أو كثير منهم لا يثق بمن يعرفها ولا يطمئن إليه، بل كان بعضهم يرمي المشتغل بها بالزيغ والابتداع، ظنا منه أن هذه العلوم يتوسل بها أهلها إلى ادعاء العلم بالغيب - التنجيم - وكان بعضهم يدعي ذلك فعلا، فأساء إلى نفسه وإلى علمه، والفقهاء معذورون، ومن كان من الفقهاء والعلماء يعرف هذه العلوم لم يكن بمستطيع أن يحدد موقفها الصحيح بالنسبة إلى الدين والفقه، بل كان يشير إليها على تخوف.

Tulisan pakar ilmu hadis ini menunjukkan kepada kita beberapa perkara:

1.     Orang Arab sebelum Islam dan pada permulaan Islam tidak mengetahui tentang ilmu Falak secara teguh kerana mereka adalah umat yang tidak pandai membaca dan menulis.

2.     Rasulullah صلي الله عليه وسلم mengarahkan melihat hilal kerana itu adalah kemampuan yang ada pada mereka ketika itu.

3.     Bukan dari hikmah Allah jika Dia mewajibkan sesuatu kepada hambanya untuk mensabitkan anak bulan dengan cara pengiraan sedangkan kebanyakan mereka adalah buta huruf. Allah sama sekali tidak akan membebankan hambanya kecuali pada perkara yang mereka mampu lakukan.

4.  Setelah umat Islam menguasai dunia, ilmu menjadi semakin berkembang. Mereka menterjemahkan ilmu orang-orang dahulukala dan memperoleh penemuan-penemuan baru yang belum diketahui sebelum ini.

5.  Kebanyakan ahli fiqh dan hadis mengetahui tentang ilmu falak ini secara asasnya sahaja. Ada dikalangan mereka mengaitkan perkara ini kepada perkara yang sesat dan bid'ah kerana menyangka ilmu ini ada kaitan dengan dakwaan mengetahui ilmu yang ghaib ( ilmu ramalan bintang ).

Hilal Syawal 29 Ramadhan 1432H ( Catatan Dr. Kassim Bahali -Ketua Falak Kompleks Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka )

Berdasarkan data-data bulan dan matahari menunjukkan hilal ( anak bulan ) Syawal tahun ini 1432 H telah memenuhi kriteria kemungkinan hilal itu dapat dilihat ( imkanurukyah ). Ijtimak berlaku pada pukul 11:04 pada 29 Ogos 2011. Umur anak bulan ( hilal ) ketika matahari terbenam pada pukul19:19 di Melaka ialah 8 jam 14 minit. Ketinggian ( Altitud ) Hilal dari ufuk = 1 darjah 17 m. Hilal ( anak bulan) berada di atas ufuk selama 5 minit. Anak bulan telah memenuhi syarat untuk ianya dapat dicerap pada  29 Ramadhan 1432 H. Dengan ini, mengikut kiraan Falak, 1 Syawal 1432 Hbersamaan 30 Ogos 2011 ( Hari selasa ). Wallahu a’lam bi showab.

Nisbah Kesilapan dalam pengiraan Falak adalah 1:100,000 persaat.


AMARAN:
Ini adalah maklumat dan data simpanan peribadi untuk tujuan  kajian dan pembelajaran. Ia BUKAN MAKLUMAT RASMI. Maklumat rasmi untuk kegunaan rakyat Malaysia ialah yang akan diisytiharkan oleh Pemegang Mohor Besar Raja Raja pada 29 Ogos 2011 berita jam 8:00 Malam.

Che Amran Arifin
24 Ogos 2011 bersamaan 24 Ramadhan 1432H