Saturday, September 24, 2011

Siri 21: TIMUR Dan BARAT Cuma Satu...Tapi Kenapa Dirakam Dalam Al Quran Dengan Ganda Dua Dan Jamak ( Plural )? - Sambungan


Dalam surah As Syu'ara' ayat 27, perkataan timur dan barat muncul dengan lafaz mufrad. Ia adalah isyarat kepada satu keadaan tertentu yang tetap pada sesuatu tempat dan sesuatu masa. Satu ketika matahari muncul di suatu tempat dan terbenam di suatu tempat. Semua orang yang ada di tempat ini mereka berada dalam waktu yang sama saat terbit dan terbenamnya matahari. Itulah apa yang kita baca di dalam ayat. Allah Taala sertakan perkata Masyriq dan Maghrib secara terus.


Allah nyatakan   رب المشرق  والمغرب   ( Allah tidak nyatakan رب المشرق ورب المغرب ). Di sini kita faham bahawa situasi ayat adalah menerangkan perkara tertentu secara khusus iaitu berlakunya terbit dan terbenam matahari setiap masa. Bila kita aplikasikan perkara ini kepada tempat lain di bumi ia akan menunjukkan satu perkara penting iaitu bumi ini berbentuk bulat. Ini bermakna ayat ini hanya membuktikan kepada kita satu perkara secara khusus iaitu rupa bentuk bumi.


Ayat: “Aku bersumpah dengan kebesaranKu iaitu Tuhan yang menguasai seluruh timur dan barat dan sesungguhnya Kami Maha Berkuasa


Di dalam ayat ini pula perkataan timur dan barat dirakam dengan kata jamak iaitu المشارق والمغارب  isyarat kepada adanya aktiviti matahari terbit dan terbenam secara berterusan terhadap bumi ini. Memandangkan proses matahari terbit dan terbenam berlaku secara berterusan melampaui masa dan tempat, ia menunjukkan kepada kita dua perkara: (1) Rupa bentuk bumi adalah bulat (kurawi) (2) Bumi itu sendiri berputar dan dalam masa yang sama ia berputar mengelilingi matahari.








Di dalam surah Al Rahman ayat 27 Allah Taala menyebut perkataan timur dan barat dalam bentuk ganda dua ( رب المشرقين ورب المغربين ) dengan diulang pula lafaz رب  sebanyak dua kali. Bentuk susunan ayat cantik sekali. Timur dan barat dilafaz dengan kata ganda dua agar sesuai dengan gaya bahasa surah Ar Rahman yang keseluruhannya disebut dalam bentuk ini di akhir setiap ayat-ayatnya. Tapi bukan itu sahaja, disebaliknya tersembunyi hakikat alam semesta. Inilah yang ingin dibongkarkan.



Allah Taala mengulangi kalimah Rab (Tuhan) sebanyak dua kali ( Tuhan yang memiliki dua timur dan Tuhan yang memiliki dua barat ) menunjukkan kepada kita dua timur itu adalah dua timur yang berbeza dan dua barat itu dua barat yang berbeza dari segi masa dan tempat. Dari segi tatabahasa bahasa Arab, sesuatu perkataan itu jika diulang dengan diselangi perkataan (و ) ia akan membawa maksud perkataan yang sebelum dan selepas huruf و itu adalah membawa maksud yang berbeza. 


Satu timur ialah timur yang kita alami buat masa sekarang dan timur satu lagi ialah yang alam dunia ini akan mengalaminya pada waktu kiamat nanti. 


Demikian juga dengan barat, proses berlakunya keberlainan timur dan barat tidak akan berlaku dalam waktu yang sama secara serentak. Fenomena ini sebagaimana yang dinyatakan Nabi صلي الله عليه وسلم  " Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah matahari muncul dari sebelah barat"

1 comment: