Tuesday, January 31, 2012

Siri 30: Ilmu Falak Di Kelantan


Pintu masuk ke Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu Kelantan


Madrasah Diniyyah Al Bakriyah - Pondok Pasir Tumboh Kelantan

Peranan orang-orang Arab dan Farsi dalam mengembangkan agama Islam ke nusantara sebenarnya ada kaitan secara langsung dengan perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu. Ia menjadi tapak pemula kepada terbinanya tamadun ilmu ini khususnya di Kelantan.


Pada zaman terbinanya tamadun ilmu dalam bentuk penulisan terutama pada zaman kerajaan Abasiah, pelbagai bidang dan bentuk ilmu dipindah masuk ke dalam tamadun Islam dalam bentuk terjemahan. Teks-teks ini kemudiannya dihuraikan sehingga ia menjadi bertambah luas dan maju.

Bermula di era kerajaan Melaka dengan kehadiran Syeikh Abdul Aziz Al Nayiri, ilmu falak mula merebak secara perlahan ke kawasan-kawasan yang berdekatan seperti Aceh melalui pena beberapa orang ulama seperti Nuruddin Al Raniri.

Ilmu falak telahpun dipelajari secara serius di kelantan sebelum tahun 50 an lagi oleh pelajar-pelajar agama di pondok-pondok negeri kelantan seperti Pondok Masjid Muhammadi Kota Bharu, Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas, Pondok Bunut Payung Kota Bharu, Pondok Tok Selihor Tumpat, Pondok Pasir Tumboh dan lain-lain lagi.

Sebelum tahun 50 an, pelajar-pelajar ilmu falak banyak mengunakan alatan falak tradisonal seperti Rubu’ Mujayyab untuk tujuan mengira waktu solat dan menentukan arah kiblat. Rubu’ Mujayyab ialah alat tradisional falak yang asalnya dicipta oleh Ibnu Syatir. Ia sejenis alat suku bulatan yang berguna untuk menentukan waktu-waktu solat, mengukur ketinggian matahari dari ufuk bertujuan untuk mengetahui masa jam setempat, mengukur ketinggian sesuatu objek seperti bukit, bangunan, mengesan arah kiblat, dalam atau cetek sesebuah perigi, keluasan sesebuah padang dan lain-lain lagi.

Era 50 an juga ilmu falak telah diajar di sekolah-sekolah agama  dan ia adalah salah satu matapelajaran yang wajib bermula pada darjah 5. Pelopor utama kepada pengajian ini Hj. Mohammad Nor bin Ibrahim –mufti Kerajaan negeri Kelantan.


Sunday, January 15, 2012

Siri 29: Al Quran Dan Kalendar Hijri ( Qamari)


Kalendar Islam atau disebut juga dengan nama Takwim Islam adalah berdasarkan putaran atau pergerakan bulan. Ia berbeza dengan Kalendar Masihi yang berasaskan suria. Suatu ketika dahulu sistem Takwim Islam mengalami beberapa kelemahan disebabkan kekurangan kepakaran saintifik. Walaubagaimanapun masalah ini telah diatasi dengan wujudnya International Islamic Calendar Programe ( IICP) sejak 35 tahun yang lampau. Meskipun hari ini matahari digunakan secara meluas, namun perlu diingat bahawa hampir kesemua tamadun awal bermula dengan Kalendar Qamari yang bersumberkan bulan.


Purata bulan Qamari ialah kira-kira 29 hari dan ia tidak terikat dengan musim. Pada mulanya orang Mesir menggunakan sistem berasaskan qamari kemudian bertukar kepada kalendar biasa yang terdiri dari 12 bulan berasaskan 30 hari dan kabisat 5 hari menjadikannya 365 hari setahun.


Firman Allah Azza Wajalla yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya Ibadat Haji. dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."( Al Baqarah: 189 )


FirmanNya lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. ( At Taubah: 36 )


Taqwim Hijri Qamari adalah sebahagian dari Taqwim Islami iaitu Taqwim Qamari yang bergantung kepada putara bulan untuk menetapkan waktu. Ia digunakan oleh orang-orang Islam di semua pelusuk bumi terutama dalam menentukan tarikh-tarikh yang ada kaitan dengan keagamaan.


Taqwim Hijri Qamari ini diwujudkan oleh Saidina Umar Al Khattab radhiallahu anhu dan beliau menjadikan hijrah Rasul sebagai dari Mekah ke Madinah pada 22 Rabiul Awwal bersamaan 24 September 622M sebagai rujukan tahun yang pertama. Ini juga adalah sebab kenapa ia dipanggil dengan nama Taqwim Hijri. Sekalipun Taqwim Hijri dibuat pada zaman Islam, nama-nama bulan dan Taqwim Qamari telah sedia digunakan pada zaman jahiliah. Taqwim Hijri bermula pada  hari Jumaat 1 Muharram tahun 1 Hijrah bersamaan 16 Julai 622M.


Taqwim Hijri mengandungi 12 bulan Qamari bersamaan lebih kurang 354 hari (354.367056 hari ). hari-hari dalam bulan Qamari pula samada 29 atau 30 hari kerana putaran bulan menyamai 29.530588 hari. Ini bermakna perbezaan dengan Taqwim Miladi ialah 11.2 hari.

Bulan-Bulan Qamari:

❶ Muharram – bulan pertama dalam tahun Hijrah dan merupakan salah satu dari bulan-bulan haram. Dinamakan demikian kerana orang Arab sebelum Islam mengharamkan peperangan pada bulan tersebut.


❷ Safar – dinamakan demikian kerana pada bulan ini rumah-rumah orang Arab ‘sunyi’ kerana ketiadaan penghuninya kerana pergi berperang.


❸ Rabi’ul Awwal – dinamakan dengan nama demikian kerana bulan ini adalah hadirnya musim bunga.


❹ Rabi’ul Akhir – musim bunga akhir


❺ Jamadil Ula – sebelum Islam ia dikenali sebagai Jamadil Khamsah. Dinamakan demikian kerana ia berlaku pada musim sejuk sehingga air membeku.


❻ Jamadil Akhir – sebelum Islam ia dikenali dengan nama Jamadil Sittah. Dinamakan demikian kerana ia berlaku pada musim sejuk.


❼ Rejab – sebahagian dari bulan-bulan haram. Dinamakan demikian kerana peperangan dihentikan pada bulan ini.


❽ Sya’ban – dinamakan demikian kerana ia berada antara Rejab dan Ramadhan.


❾ Ramadhan – dinamakan demikian kerana udara sangat panas membakar pada ketika penamaannya. Di sisi orang Islam ia bermaksud ‘membakar’ dosa-dosa yang dilakukan kerana pada bulan ini disyariatkan berpuasa.


❿ Syawal  Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada dasar kata ‘syala’ (mengangkat). 


⓫ Zulqaidah – dinamakan demikian kerana pada bulan ini orang-orang Arab tidak ke mana-mana. Qa’ada bermaksud duduk. Ia juga adalah salah satu bulan-bulan yang diharamkan berperang.


⓬ Zulhijjah – dinamakan demikian kerana pada bulan ini orang-orang Islam pergi menunaikan haji.