Sunday, March 1, 2009

Siri 1: Sejarah Ringkas Perkembangan Ilmu Falak - Definisi

Ilmu Falak adalah salah satu cabang ilmu sains tabii yang mengkaji pergerakan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari serta bintang-bintang. Ia juga diistilahkan sebagai "sains yang mengkaji objek-objek diangkasa.

Perkataan 'Falak' disebut dalam al Quran yang menunjukkan pengertian sesuatu yang beredar di langit. Ini berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud:


40. (dengan ketentuan Yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. ( Yasin:40 )

33. dan Dia lah (Tuhan) Yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas). ( Al Anbiya:33 )


Berikut ini adalah beberapa takrifan falak yang diberikan oleh beberapa tokoh cendikiawan Islam:

1. Falak adalah sesuatu yang saling bertukaran - Al Biruni dalam Kanun Al Masudi.

2. Ilmu yang mengkaji tentang tatasuria, menghitung jumlah bintang, mengukur pembahagian gugusan-gugusan bintang, jarak, saiz dan pergerakan badan-badan cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berhubung dengannya - Rasail Ikhwan Al Safa.

3. Ilmu yang mempelajari pergerakan tetap bintang-bintang samada bergerak atau berpusing - Ibnu Khaldun dalam Al Mukadimah.